Menekuni Mesej Penyair dalam Puisi

Dilah, Tuah Menekuni Mesej Penyair dalam Puisi. [Newspaper Cutting] (In Press)

[img] PDF
index.html - Published Version

Download (105kB)
Official URL: https://utusansarawak.com.my/menekuni-mesej-penyai...

Abstract

PUISI bukan sekadar untaian kata yang indah, tetapi memiliki kuasa untuk mempengaruhi pemikiran, perasaan dan tindakan manusia. Menurut Bernard Guerin (2020) dalam “What Does Poetry Do to Readers and Listeners, and How Does It Do This?”, puisi tidak memberi arahan secara langsung, sebaliknya mengubah pola sosial yang biasa, sehingga mempengaruhi cara individu bercakap, berfikir dan bertindak. Keistimewaan puisi terletak pada kemampuannya mengubah norma sosial yang sedia ada, menawarkan perspektif baharu kepada pembaca dan pendengar, serta mempercepat pemahaman mereka terhadap sesuatu perkara. Dalam konteks peranan penyair, Wajed dan Saghar (2023) dalam “The Role of Poetry and the Poet’s Mission in the Awakening of Society” menekankan bahawa puisi berfungsi sebagai alat komunikasi antara generasi yang menggambarkan pelbagai aspek kehidupan dan keadaan manusia melalui bahasa. Penyair dilihat sebagai seniman yang mahir dalam mengungkapkan pemikiran masyarakat, membangkitkan kesedaran sosial, serta membezakan antara kebaikan dan keburukan. Dengan kata lain, penyair bukan hanya pencipta kata-kata yang indah, tetapi juga pemikir yang bertanggungjawab menyedarkan masyarakat tentang realiti kehidupan dan menggerakkan mereka ke arah perubahan yang lebih baik. Selain menjadi alat kesedaran sosial, puisi juga merupakan suatu bentuk ekspresi seni yang menggunakan bahasa untuk menyampaikan perasaan, pemikiran dan pengalaman manusia. Ia menjadi penghubung generasi, mencerminkan realiti kehidupan dan memberikan dimensi estetika kepada pengalaman manusia. Lebih daripada sekadar susunan kata yang indah, puisi mampu membangkitkan pemikiran dan emosi pembaca, sekali gus menyemai nilai-nilai kemanusiaan dalam masyarakat. Misalnya, puisi “Anak Jiran Tionghoa” (1962) karya Usman Awang mengajar khalayak untuk menolak sifat perkauman yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum. Lantas, untuk siapa sebenarnya puisi ditulis? Puisi tidak hanya untuk diri penyair, tetapi untuk semua lapisan masyarakat iaitu individu, komuniti dan generasi akan datang. Ia menjadi jambatan yang menghubungkan manusia dengan nilai-nilai kemanusiaan, sejarah dan budaya. Penyair memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej sosial, politik dan falsafah, menjadikan puisi sebagai suara yang meresap ke dalam sanubari setiap pembaca. Memandangkan puisi ditujukan kepada khalayak yang luas, ia seharusnya ditulis dengan mempertimbangkan kesan serta kejelasan maknanya. Bagi penyair pemula, puisi boleh dimulakan dengan sesuatu yang menyenangkan, mudah difahami dan mampu meninggalkan kesan estetika serta nilai moral kepada pembaca.

Item Type: Newspaper Cutting
Subjects: P Language and Literature > PL Languages and literatures of Eastern Asia, Africa, Oceania
Divisions: Academic Faculties, Institutes and Centres > Faculty of Education, Language and Communication
Depositing User: Tuah
Date Deposited: 22 Aug 2025 07:33
Last Modified: 22 Aug 2025 07:33
URI: http://ir.unimas.my/id/eprint/49230

Actions (For repository members only: login required)

View Item View Item