Kesepaduan Nada, Diksi dan Emosi Penyair

Dilah, Tuah (2025) Kesepaduan Nada, Diksi dan Emosi Penyair. [Newspaper Cutting] (In Press)

[img] PDF
index.html

Download (106kB)
Official URL: https://utusansarawak.com.my/kesepaduan-nada-diksi...

Abstract

NADA merujuk pada sikap atau pandangan penulis terhadap subjek, penutur atau audiens, yang disampaikan melalui penggunaan bahasa. Ia sering digambarkan sebagai ‘suasana’ dalam puisi dan boleh merangkumi nada yang serius, formal dan santai. Laurence Perrine (2018) dalam Perrine’s Literature: Structure, Sound and Sense mendefinisikan nada sebagai ‘sikap penulis atau pembicara terhadap subjek, audiens, atau dirinya sendiri’, dan menekankan bahawa nada ialah pewarnaan emosi atau makna emosional dalam sesebuah karya sastera. Pandangan ini turut diperkuat oleh Edgar V. Roberts (1983) dalam Writing Themes About Literature, yang menyatakan bahawa nada merujuk pada makna di sebalik cara penyair mengungkapkan sikapnya. Dalam konteks ini, nada bukan sekadar apa-apa yang disampaikan, tetapi penyampaian sesuatu itu melalui pemilihan kata, struktur ayat, gaya bahasa dan teknik puitis yang lain. Dalam mengenal pasti nada sesebuah puisi, pembaca perlu memberi perhatian yang teliti terhadap unsur-unsur seperti diksi, imejan, sintaksis, bahasa kiasan, serta rima yang digunakan oleh penyair. Imejan merujuk pada gambaran atau bayangan pancaindera yang dibina melalui kata-kata, seperti visual, bunyi atau sentuhan. Sintaksis pula merujuk pada susunan ayat dan struktur bahasa. Ayat yang pendek dan padat biasanya mampu menggambarkan ketegangan atau tekanan. Manakala ayat yang panjang dan beralun, melahirkan suasana tenang atau melankolik. Jelas bahawa setiap diksi yang dipilih oleh penyair mempunyai peranan khusus dalam menyampaikan emosi, suasana dan sudut pandangnya kepada khalayak, sekali gus memperkaya makna serta membentuk pengalaman estetika yang mendalam kepada khalayak pembaca. Selain itu, nada dalam puisi juga bertujuan untuk menyampaikan emosi penyair. Melalui nada, khalayak pembaca dapat merasai emosi sebenar penyair sama ada sedih, marah, gembira, romantis, sinis atau pasrah. Di sisi yang lain, nada turut berupaya membentuk persepsi serta cara pembaca melihat dan memahami puisi. Dengan kata lain, penilaian pembaca terhadap sesebuah puisi banyak bergantung pada nada yang terbentuk melalui diksi yang dipilih. Justeru, untuk membina kesepaduan nada dan emosi dalam puisi, ketepatan pemilihan diksi oleh penyair amatlah penting. Hal ini dikatakan sedemikian kerana ketidaksesuaian nada boleh mengheret sesebuah puisi ke lembah kata yang klise, polos dan prosaik. Penyair terkenal Amerika, Robert Frost, pernah menyatakan bahawa, ‘Poetry is when an emotion has found its thought and the thought has found words’. Kata-kata ini menekankan betapa pentingnya pemilihan kata dan nada dalam menyampaikan perasaan yang ikhlas dan mendalam. Nada bukan hanya menyentuh makna kata, tetapi menyentuh jiwa pembaca sehingga menjadikan puisi itu lebih daripada sekadar susunan ayat, malah sebuah pengalaman emosi. Dalam hal ini jelas bahawa nada dalam diksi bukan sekadar soal gaya bahasa, tetapi merupakan elemen penting yang menentukan suasana, emosi dan mesej dalam sesebuah puisi. Penyair yang mahir akan memilih kata-kata yang bukan hanya tepat dari segi maknanya, tetapi juga dari segi suara dan rasa.

Item Type: Newspaper Cutting
Subjects: P Language and Literature > PL Languages and literatures of Eastern Asia, Africa, Oceania
Divisions: Academic Faculties, Institutes and Centres > Faculty of Education, Language and Communication
Depositing User: Tuah
Date Deposited: 22 Aug 2025 07:31
Last Modified: 22 Aug 2025 07:31
URI: http://ir.unimas.my/id/eprint/49229

Actions (For repository members only: login required)

View Item View Item