Menguasai Diksi Mengawal Emosi

Dilah, Tuah (2025) Menguasai Diksi Mengawal Emosi. [Newspaper Cutting] (In Press)

[img] PDF
index.html

Download (106kB)
Official URL: https://utusansarawak.com.my/menguasai-diksi-menga...

Abstract

DALAM gelanggang puisi, diksi bukan sekadar pilihan kata, tetapi cerminan akal dan hati penyair. Diksi ialah roh bahasa yang membentuk nada, gaya dan makna sesuatu puisi, menjadikannya lebih daripada sekadar susunan kata. Setiap perkataan yang dipilih, setiap ayat yang dibentuk, mencerminkan kehalusan rasa dan ketelitian akal. Maka benarlah, tatkala diksi dikuasai, emosi pun dapat dikendali laksana seorang nakhoda yang mahir mengemudi bahtera di tengah gelora samudera. Penyair yang mengerti kuasa diksi mampu menyampaikan gejolak jiwanya dalam bentuk yang tersusun dan indah tanpa tenggelam dalam ledakan perasaan yang liar. Sejarah telah merakamkan diksi puitis menjadi medan perbahasan besar dalam dunia sastera. Seawal zaman Aristotle, perihal bahasa dalam puisi yang diungkap sebagai kata yang lazim, aneh, metafora atau berhias telah diperhalusi dan dikaji. Puisi tidak berdiri dengan kata yang sembarangan; ia harus halus namun jelas, tinggi tetapi tidak kabur. Dalam keindahan itulah tersembunyi keupayaan mengawal emosi kerana bahasa puitis yang terpilih mampu menyalurkan duka atau bahagia secara simbolik dan bersahaja. Justeru, apabila diksi difahami sebagai alat artistik yang berstruktur, penyair memiliki kuasa untuk menzahirkan emosi secara tersirat dan berlapis. Namun, perubahan zaman turut mengubah wajah diksi dalam puisi. Daripada gaya yang bersifat berhias dan tinggi seperti zaman neoklasik, muncul pula suara seperti Wordsworth yang mendekatkan puisi kepada bahasa rakyat. Dalam Lyrical Ballads, beliau menegaskan bahawa puisi harus lahir daripada bahasa sebenar manusia dalam apa-apa jua keadaan. Walaupun begitu, peralihan ini tidak menidakkan keperluan menguasai diksi. Malah, keupayaan memilih dan menyusun kata secara jujur, tulus dan tepat tetap menjadi senjata utama penyair untuk memaut emosi pembaca tanpa perlu terjerumus dalam kepalsuan retorik. Akhirnya, penguasaan diksi tidak hanya memberi kesan kepada bentuk puisi, malah mencerminkan kematangan emosi penyair. Dengan diksi yang tepat dan terarah, emosi dapat disampaikan melalui simbol, ritma, metafora atau struktur. Tidak lagi bergantung pada ungkapan terus yang dangkal, puisi menjadi wadah yang mendidik rasa, bukan sekadar melampiaskan rasa. Ia mendewasakan jiwa penyair dan pembaca, menjadikan puisi bukan sekadar seni, bahkan cermin kesedaran dan kawalan diri

Item Type: Newspaper Cutting
Subjects: P Language and Literature > PL Languages and literatures of Eastern Asia, Africa, Oceania
Divisions: Academic Faculties, Institutes and Centres > Faculty of Education, Language and Communication
Depositing User: Tuah
Date Deposited: 22 Aug 2025 07:30
Last Modified: 22 Aug 2025 07:30
URI: http://ir.unimas.my/id/eprint/49220

Actions (For repository members only: login required)

View Item View Item