KUCHING: Tindakan memastikan setiap pengguna media sosial yang ingin memuat naik mana-mana video di Internet perlu memiliki lesen daripada Finas hanya akan menimbulkan masalah kepada pengguna.
Pensyarah Jurusan Drama dan Teater, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Unimas Abdul Walid Ali berkata, terdapat badan khas yang menapis setiap kandungan yang disiarkan di media sosial.
Menurutnya, pengguna sendiri berhak menyekat atau memberikan komen untuk memastikan karya yang dihasilkan sesuai untuk disiarkan.
“Lesen ini lebih diperlukan oleh pawagam kerana untuk memiliki lesen bagi menghasilkan filem, seseorang itu perlu mendaftar dengan persatuan.
“Maka, filem tersebut akan diutamakan di pawagam kerana sah dari segi pemilikannya,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifudin Abdullah iaitu segala bentuk penggambaran memerlukan lesen Finas termasuk media sosial peribadi.
Abdul Walid berkata, secara kolektifnya untuk seseorang pengguna media sosial memohon lesen daripada Finas untuk menyiarkan karya di media sosial adalah tidak relevan.
Jelasnya lagi, proses tersebut akan memakan masa, tambahan pula meningkatkan kos kepada pengguna.
“Sebaliknya kementerian perlu melihat masalah yang dihadapi oleh industri kreatif negara yang melibatkan pembayaran royalti dan peluang kepada lepasan universiti serta belia dalam industri kreatif.
“Apakah tindakan kita apabila lepasan universiti terpaksa menerima skop tugas dengan bayaran jauh lebih rendah daripada yang sewajarnya?
“Perkara ini perlu diambil perhatian oleh semua pihak,” tambahnya.
Perkara itu katanya, jika berterusan akan mengganggu ekosistem industri kreatif kerana ramai yang tidak mahu turut serta disebabkan pembayaran lambat, yang mungkin memberikan kesan kepada produksi lain, sekali gus menyebabkan industri ini tidak berkembang seperti industri lain.
“Pembayaran bayaran kepada kru produksi khasnya kepada lepasan universiti untuk terlibat dalam industri kreatif juga menjadi masalah.
“Ini kerana ada pihak yang sekadar menawarkan pendedahan berbanding bayaran, kerana kita tahu setiap kerja memerlukan kos misalnya minyak kereta dan sebagainya,” jelasnya.