Filem, Tuhan dan penceritaan Desolasi
(Dikemaskini )
Ketika ke pawagam untuk menonton Desolasi arahan Syafiq Yusof saya membawa seribu satu harapan selepas kisah penggunaan teknik imej janaan komputer (CGI) padanya dipuji kerana dapat 'memadamkan' kesesakan orang ramai di tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur.
Tidak dinafikan bahawa saya amat kagum dengan kehebatan pasukan CGI Desolasi untuk menampilkan visual janaan komputer yang tidak kurang hebatnya berbanding paparan filem Hollywood seperti Jurassic Park.
Penggunaan CGI juga tepat pada tujang utama filem Desolasi iaitu, berhati-hati dengan apa yang kita inginkan atau visualkan. Ia akan datang menjelma menjadi "realiti".
Apakah itu realiti dan imaginasi?
Soalan ini telah dibangkitkan berkali-kali dalam filem Desolasi sama ada melalui dialog ataupun visual yang ditampilkan, melalui Aiman (lakonan Syamsul Yusof), mahupun Maya (Bella Dally).
Pada penghujung filem, Aiman disedarkan bahawa semua yang dilalui hanya imaginasi kesan rawatan yang diberikan oleh Dr Yap.
Aiman juga sedar bahawa kebenaran hanya dapat ditawarkan oleh Tuhan, lalu dia menjadi seseorang yang beriman.
Namun ini amat mengganggu saya.
Saya bukanlah antiagama atau filem yang berunsurkan agama. Namun, apa saya terganggu apabila pendekatan simplisity penulis skrip menggunakan Tuhan sebagai jawapan kepada segala konflik yang diwujudkan dalam filem.
Sekiranya begitulah caranya, semua skrip boleh ditamatkan pada klimaks dengan melibatkan Tuhan sebagai penyelesai masalah.
Masih di takuk lama
Saya amat tertarik dengan sikap Aiman menjadi kurang ajar dan tidak menghargai apa yang ada di sekelilingnya. Namun, perubahannya daripada kurang ajar dan pelik dengan dunia desolasi (tiada orang) kepada suka keadaan desolasi lalu kembali ke pangkal jalan amat drastik.
Pada saya, proses itu perlu diusahakan dengan lebih kukuh.
Ini merupakan cabaran utama dalam filem-filem tempatan. Selagi kita tidak melaburkan usaha dan keringat yang mencukupi untuk penceritaan, filem kita hanya tinggal sebagai media visual yang kurang layak diangkat sebagai filem.
Sesungguhnya visual (sinematografi) dalam kebanyakan filem Malaysia sudah memuaskan, namun storytelling (penceritaan) mahupun visual storytelling (penceritaan visual) masih perlu dipertingkatkan.
Selagi tidak berbuat demikian, kita hanya akan berada di takuk lama: Menghasilkan medium visual dan audio yang lemah atau tiada penceritaan.
Penceritaan yang baik lazimnya bermula dengan pembentukan watak yang kukuh. Kekurangan ini amat ketara pada watak utama Aiman apabila proses perubahan dan taubatnya tidak dititikberatkan.
Begitu juga dengan watak bapa Aiman (Datuk Jalalluddin Hassan) yang kelihatan nyanyuk namun mampu melakukan perkara-perkara luar biasa.
Namun perkara ini kurang menyakinkan. Filem naratif sedemikian perlukan "make believe". Jika gagal, keyakinan penonton akan hilang.
Namun begitu, saya amat bangga dengan persembahan Pekin Ibrahim. Pada saya, Pekin membawa wataknya dengan baik sekali!
Pekin faham apa yang diperlukannya sebagai watak dengan masa lampau yang 'gelap'. Dengan kata lain, lakonannya menyakinkan kerana dia memahami watak itu dengan baik.
Perkara ini, secara tidak langsung telah menambah nilai untuk filem Desolasi. Syabas.
Saya berharap dengan pandangan ini kita dapat mewujudkan wadah perbincangan yang boleh menggalakan lebih ramai orang menonton filem tempatan dan secara tidak langsung, pengeluar meningkatkan kualitinya.
Harapan saya, rakyat Malaysia tidak melihat filem tempatan sebagai 'sampah' atau dan menjauhi penggung wayang yang menayangkan filem terbitan negara ini.
Apakah saya masih dalam dunia maya hasil khayalan saya?
Saya harap tidak, kerana sinaran harapan yang telah dibawakan oleh beberapa filem kegemaran saya - dari Pekak ke Juvana 3 dan Hanyut ke Interchange - menunjukkan sebaliknya.
Jom ke pawagam menonton filem tempatan!
YOW CHING LEE seorang pensyarah filem di Program Sinematografi, Universiti Malaysia Sarawak