Pembangunan Ekonomi Integrasi Asia Timur

Rujhan, Mustafa (2009) Pembangunan Ekonomi Integrasi Asia Timur. Universiti Malaysia Sarawak, (UNIMAS). ISBN 978-983-9257-77-9

[img]
Preview
PDF
Pembangunan Ekonomi Integrasi Asia Timur (24pgs).pdf

Download (1MB) | Preview

Abstract

Integrasi ekonomi serantau (regionalisme) menjadi trend ekonomi paling penting dalam ekonomi global hari ini dengan kewujudan banyak Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA). Kejayaan kawasan/rantau Eropah bergabung melalui Kesatuan Eropah (EU) dan kejayaan kawasan/rantau Amerika Utara melalui Kawasan Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) telah mendorong kewujudan lebih banyak Perjanjian Perdagangan Bebas Serantau (RTA) ditandatangani. Jumlah RTA telah meningkat dengan pesat dengan skop geografinya yang semakin meluas. Mengikut data daripada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada Mac 2002, sebanyak 250 RTA telah dimeterai dan sebanyak 168 kekal aktif. Pada hari ini kita telah dapat melihat trend regionalisme ini semakin tersebar luas dalam bentuk yang pelbagai dan kompleks. Pertamanya, kewujudan RTA menjadi lebih kukuh dan kuat. Pengenalan mata wang baru `Euro' untuk dipakai oleh negara-negara anggota EU telah menjadikan ekonomi EU semakin kuat dan teguh. Kekuatan ini semakin bertambah apabila EU telah menerima 10 keanggotaan dari negara-negara baru Eropah Timur pada Jun 2004. Kedua, rangkaian ekonomi yang dibentuk hari ini merupakan kerjasama antara satu RTA dengan RTA yang lain. Contohnya, kerjasama di antara rantau Eropah dengan rantau Amerika Selatan melalui Kesatuan Eropah-Perjanjian Kawasan Pasaran Umum Amerika Selatan (EU- MERCOSUR) dan kerjasama kawasan Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dengan rantau Ocenia melalui ASEAN FTA (AFTA)-ANZCERTA (Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Kawasan Perdagangan Hubungan Ekonomi Rapat Australia-New Zealand). Ketiga, kemunculan RTA yang baru secara berterusan di setiap kawasan/rantau. Kejayaan yang dicapai di kawasan Eropah dan Amerika Utara telah mendorong rantau atau kawasan ekonomi yang lain untuk mewujudkan kawasan 1 Pembangunan Ekonomi Integrasi Asia Timur ekonomi mereka sendiri. Rantau Asia Timur yang terkenal dengan prestasi pencapaian ekonomi yang tinggi sebenarnya agak jauh ketinggalan dalam kerjasama ekonomi seperti ini. Satu-satunya institusi formal yang telah wujud di kawasan Asia Timur ialah ASEAN yang ditubuhkan pada tahun 1967 atas platform politik. ASEAN hanya menukar objektifnya ke arah platform ekonomi bermula pada tahun 1977 apabila mencapai persetujuan perjanjian tentang Peraturan Perdagangan Istimewa (PTA-Preferential Trading Arrangements). Hari ini, ASEAN telah memasuki fasa baru kerjasama ekonomi dengan menandatangani ASEAN FIFA (AFTA). AFTA dibentuk hasil daripada Mesyuarat Kemuncak ASEAN pada tahun 1992 yang dihadiri oleh negara anggota asalnya iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura dan Brunei. AFTA telah berkembang ke seluruh rantau Asia Tenggara dengan penyertaan Vietnam (1995), Myanmar dan Laos (1997), dan Kemboja (1999). Sehingga tahun 1997, tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa kerjasama ekonomi Asia Timur dapat diwujudkan selain daripada kewujudan ASEAN. Negara-negara maju di Asia Timur Jauh seperti Jepun dan Korea Selatan kurang menunjukkan minat mereka dalam integrasi ekonomi. China dalam tempoh yang sama (sebelum 1997) terpaksa menumpukan banyak masa untuk memastikan permohonannya untuk menjadi ahli Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang akhirnya diterima pada tahun 2001. Cadangan bekas Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad pada tahun 1990 kepada negara-negara Asia Timur untuk membentuk Kumpulan Ekonomi Asia Timur (EAEG) tidak diterima oleh negara Jepun. Jepun menolak cadangan ini kerana tidak mendapat restu daripada negara rakan dagang utamanya, Amerika Syarikat (AS). Integrasi ekonomi di rantau Asia Timur tiba-tiba menjadi begitu penting terutamanya selepas krisis kewangan yang berlaku pada tahun 1997. Minat untuk mewujudkan kawasan perdagangan bebas Asia Timur oleh negara China, Jepun dan Korea hanya dapat dilihat selepas krisis kewangan 1997 (Cheong, 2002). Krisis kewangari yang bermula dengan kejatuhan nilai wata wang Thailand 'bath' telah merebak kepada kebanyakan ekonomi Asia Timur yang lain seperti Indonesia, Korea Selatan dan Malaysia. Krisis ini telah menjadi krisis ekonomi apabila keseluruhan sektor ekonomi terjejas teruk seperti penguncupan dalam purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara mendadak, peningkatan dalam pengangguran dan inflasi. la telah memberikan kesan langsung dan tidak langsung kepada keseluruhan prestasi ekonomi Asia Timur yang sebelum itu dibanggakan dengan 'Keajaiban Asia Timur' (Bank Dunia, 1993).

Item Type: Book
Uncontrolled Keywords: East Asia, Economic conditions, unimas, university, universiti, Borneo, Malaysia, Sarawak, Kuching, Samarahan, ipta, education, research, Universiti Malaysia Sarawak
Subjects: H Social Sciences > HC Economic History and Conditions
Divisions: Academic Faculties, Institutes and Centres > Faculty of Economics and Business
Depositing User: Karen Kornalius
Date Deposited: 03 Mar 2016 00:46
Last Modified: 03 Mar 2016 00:46
URI: http://ir.unimas.my/id/eprint/10740

Actions (For repository members only: login required)

View Item View Item